18 JULAI: Kesemua 96 rakyat Malaysia termasuk 62 jemaah Tabligh yang dibawa pulang dari India hari ini ditempatkan di pusat kuarantin bagi menjalani kuarantin selama 14 hari.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Redzuan Md Yusof berkata, ini setelah kerajaan mengambil kira kumpulan ini telah kembali dari negara yang berisiko tinggi dengan jangkitan Pandemik COVID-19.
“Setelah selesai tapisan kesihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kumpulan Person Under Surveillance (PUS) ini telah dibawa menaiki bas ke Pusat Pemantauan iaitu Akedemi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) yang terletak di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.
“Mereka yang tidak melepasi saringan kesihatan akan dihantar terus ke Hospital yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Redzuan, semua penumpang telah melepasi tapisan kesihatan yang dibuat oleh Kerajaan India sebelum dibenarkan menaiki pesawat.
“Sebaik tiba di KLIA, sama seperti ketibaan antarabangsa yang lain, semua penumpang perlu melalui saringan kesihatan dan ujian COVID-19,” katanya.
Selain 96 rakyat Malaysia yang terkandas di India, terdapat sembilan lagi krew Malindo Air dalam penerbangan itu.
Sementara itu, kata Redzuan, Pusat Pemantauan ini diselia oleh petugas-petugas kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan perhubungan terhad kepada petugas kesihatan sahaja.
Justeru, katanya, ahli keluarga atau sahabat handai diminta agar dapat memahami situasi ini dan hendaklah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pelaksanaan pemantauan ini.
“Untuk tujuan keselamatan, lokasi ini dikawal oleh pihak polis. Saringan kesihatan akan dibuat dua kali sehari bagi memastikan mereka ini benar-benar sihat dan boleh dibenarkan keluar setelah tamat proses pemantauan ini.
Tambah Mohd. Redzuan, ini merupakan Misi HADR Malaysia yang kelima setelah kejayaan membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Wuhan, China, Italy dan Iran.
Katanya, kerajaan Malaysia ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan misi bantuan kemanusiaan membawa pulang rakyat Malaysia ini berjalan lancar dan semua selamat tiba di bumi Malaysia.
“Kejayaan misi ini adalah hasil kerjasama pelbagai agensi kerajaan, termasuk Kementerian Luar,KKM, Pasukan Bomba dan Penyelamat, PDRM, Angkatan Pertahan Awam, Jabatan Imigresen Malaysia dan AKEP yang diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). MAHB dan Malindo Air juga telah memberi kerjasama dalam menjayakan misi ini.
“Hubungan baik dan kerjasama yang erat antara Kerajaan Malaysia dan India juga menjadi penyumbang utama kejayaan kali ini. Sudah pasti ianya telah menggambarkan hubungan persahabatan yang kukuh antara kedua-dua buah negara,” ujarnya.