19 JULAI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan menahan 78 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, seorang individu telah direman dan 35 individu dijamin, manakala 42 individu lagi dikenakan kompaun.
Katanya, antara kesalahan ingkar PKP termasuk aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial dan aktiviti yang melanggar SOP.
Pada masa sama, menurut beliau, Pasukan Task Force Operasi Pematuhan diketuai PDRM membuat 64,303 pemeriksaan semalam (18 Julai 2020) bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Ismail Sabri memberitahu, sebanyak 2,774 pasukan pematuhan yang membabitkan 12,360 anggota telah membuat pemantauan di 3,919 pasar raya, 5,541 restoran serta 1,658 penjaja, 1,178 kilang, 3,790 bank dan 636 pejabat kerajaan. Juga dipantau, sebanyak 1,497 terminal pengangkutan darat, 360 terminal pengangkutan air serta 130 terminal pengangkutan udara.
“PDRM juga membuat 67 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 40,495 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus.
“Berikutan itu PDRM telah berjaya menahan 14 warganegara asing atas kesalahan imigresen dan kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan
kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Ismail Sabri turut mengesahkan sehingga 18 Julai 2020, sebanyak 266 kertas siasatan telah dibuka oleh PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung berita palsu berkaitan COVID-19.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 172 masih dalam siasatan, manakala 30 kes telah didakwa di mahkamah, 12 lagi diberikan notis amaran, 13 dalam proses perbicaraan dan 17 telah mengaku bersalah.
“Tiada pertambahan kertas siasatan baharu yang dibuka oleh PDRM dan SKMM dalam tempoh lebih dua bulan yang lepas dan ini menunjukan bahawa kesedaran masyarakat terhadap penyebaran berita palsu telah meningkat.
“Bagaimanapun, PDRM dan SKMM sedang dalam proses penilaian beberapa laporan yang diterima berkenaan berita palsu mengikut
peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI