19 JULAI: Polis rejim Zionis Israel menembak meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan antikerajaan yang disertai ribuan orang semalam, susulan kemarahan memuncak berhubung cara mengendalikan krisis COVID-19.
Memetik laporan AFP, mereka berkumpul di luar kediaman Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Baitulmuqaddis dan di sebuah taman di Tel Aviv.
Mereka menyuarakan kekecewaan terhadap pemerintah, yang didakwa gagal mengekang pandemik yang semakin merebak mengakibatkan kemusnahan ekonomi.
Jurucakap polis, Micky Rosenfeld, berkata pegawainya ada memberi kebenaran untuk demonstrasi diadakan, namun terpaksa bertindak terhadap ‘gangguan’ apabila ada yang menghalang jalan raya.
Tambah beliau, penunjuk perasaan di Tel Aviv pada awalnya menyemburkan cecair pemedih mata ke arah pihak polis, yang membawa kepada banyak penangkapan.
Israel mencatatkan lebih 1,000 jangkitan baharu harian COVID-19 sejak dalam beberapa minggu kebelakangan ini, sehingga memaksa kerajaan mengumumkan pelbagai larangan baharu kelmarin.
Premis perniagaan, pasar serta tempat awam lain ditutup pada hujung minggu, sementara restoran pula hanya dibenar mengambil pesanan untuk dibawa pulang atau membuat perkhidmatan penghantaran.
Tatkala sebilangan penunjuk perasaan menyuarakan kekecewaan berikutan sekatan yang kembali dikuatkuasakan, ada pula yang mengecam pentadbiran kerajaan kerana gagal meningkatkan keupayaan ujian menjelang jangkitan gelombang kedua.
Selain krisis COVID-19, Netanyahu juga didesak meletak jawatan kerana menghadapi tuduhan rasuah dengan menerima hadiah dan meminta media membuat liputan positif terhadapnya, namun ia dinafikan beliau.