9 JULAI: UMNO dijangka meletakkan calonnya bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, pada pilihan raya kecil (PRK) nanti.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO bersedia untuk mewakili Barisan Nasional (BN) sekali lagi bagi mempertahankan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu.
“Oleh kerana kemenangan (sebelum ini) dan ADUN UMNO yang mewakili Barisan Nasional (BN) maka adalah menjadi kewajiban kepada UMNO untuk mempertahankan kerusi DUN Slim.
“Bagi memastikan kemenangan menjadi milik UMNO kita akan memberikan keutamaan kepada anak tempatan yang terbaik atas cadangan bahagian dan negeri untuk menjadi calon BN pada PRK kali ini,” katanya kepada pemberita selepas perjumpaan khas bersama Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bagan Datuk di Bagan Datuk, Perak, semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini UMNO belum membuat sebarang keputusan kerana Badan Perhubungan UMNO Perak masih tidak mengemukakan nama kepadanya selaku Pengerusi BN.
“Tetapi kita akan mengambil kira pandangan daripada UMNO dan BN Tanjung Malim terutamanya Cawangan-cawangan dan pusat daerah mengundi.
“Kita juga akan mengambil kira calon yang terbaik pada kali ini bagi menggantikan Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abd Talib.
“Saya mempunyai pegangan bahawa keutamaan harus diberikan kepada calon tempatan,” jelasnya.
Walau bagaimanapun, Ahmad Zahid menjelaskan, jentera BN kini bersiap siaga bagi menghadapi PRK tersebut.
Untuk rekod, Mohd Khusairi, 59, disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung pada jam 4.15 petang di Hospital Bentong selepas tiba-tiba pengsan ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf and Country Resort sekitar 2.30 petang Rabu lalu.
Beliau menjadi wakil rakyat Slim selama empat penggal sejak 2004 dan berkelulusan Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dari Universiti Kebangsaan Malaysia.