20 JULAI: Langkah kerajaan memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) disifatkan sangat tepat oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) untuk memacu semula ekonomi negara yang terkesan akibat wabak covid-19.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam usaha menggerakkan semula sektor perdagangan dan industri, beliau turut menerima beberapa syor NCCIM untuk pertimbangan kerajaan dan kementerian yang berkenaan.
Muhyiddin yang menerima kunjungan hormat delegasi NCCIM di pejabatnya di Parlimen hari ini berkata, dalam pertemuan tersebut beliau turut berkongsi langkah-langkah yang diambil kerajaan dalam merancakkan semula ekonomi pasca COVID-19 selepas usaha menangani pandemik itu merekodkan kejayaan yang diperakui dunia.
“Alhamdulillah, pihak NCCIM menyambut baik langkah kerajaan memperkenalkan PRIHATIN dan PENJANA yang disifatkan sangat tepat untuk memacu semula ekonomi negara yang terkesan akibat wabak itu.
“Dalam usaha menggerakkan semula sektor perdagangan dan industri, pihak NCCIM turut mengemukakan beberapa syor untuk pertimbangan kerajaan dan kementerian yang berkenaan,” katanya menerusi akaun Facebook beliau.
Menurut Perdana Menteri, kunjungan hormat delegasi NCCIM itu diketuai presidennya, Tan Sri Ter Leong Yap.
Katanya, hadir sama pada pertemuan itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
“NCCIM terdiri daripada lima organisasi utama sektor swasta yang berkaitan dengan perdagangan dan industri, iaitu Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM); Dewan Perniagaan dan Industri Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM); Dewan Perniagaan dan Industri India Bersekutu Malaysia (MAICCI); Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) serta Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM),” jelasnya. -M.H HAMID