20 JULAI: Hasrat seorang pekerja warga asing mahu memasukkan wang kedalam akaun keluarga di kampong bukan sahaja tidak kesampaian sebaliknya beliau maut ketika cuba menyelamatkan diri daripada disamun.
Mayat mangsa, Mohammad Bappi, 39 ditemui dalam parit sedalam tiga meter selepas beliau terjatuh ketika menyelamatkan diri daripada disamun di kawasan berhampiran depoh Keretapi Tanah Melayu (KTM), Bukit Tengah, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata polis menerima laporan pada jam 12 tengah hari berhubung penemuan mayat lelaki warga asing dalam parit berkenaan.Siasatan awal mendapati Mohammad Bappi yang ditemani rakannya berusia 32 tahun dalam perjalanan ke sebuah bank untuk memasukkan wang ke dalam akaun keluarganya di kampung.
“Namun ketika tiba di lokasi kejadian, mereka berdua didatangi seorang penunggang motosikal tidak dikenali yang mahu melakukan kegiatan samun sebelum memukul rakan mangsa dengan objek keras hingga pengsan.
“Mangsa kemudian dipercayai menyelamatkan diri dengan melompat pagar stesen kereta api berkenaan tetapi disebabkan gagal mengawal dirinya dia terjatuh ke dalam parit sedalam tiga meter hingga cedera parah dan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Shafee berkata, rakannya yang sedar dari pengsan dan mendapati mangsa berlumuran darah di dalam parit terbabit bergegas balik ke asrama mereka dekat Taman Nagasari, di sini untuk memaklumkan kejadian menimpa mangsa sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut.
“Menurut rakannya, mangsa mengajak menemaninya ke bank sebelum seorang lelaki datang menyamun mereka.
“Pemeriksaan lanjut yang dijalankan ke atas mayat mangsa menemui kesan kecederaan disebabkan objek tumpul dan kesan melecur pada lengan sebelah kanan,” katanya.
Shafee berkata, mangsa bekerja di sebuah kilang dekat sini dan tinggal di negara ini selama dua tahun.
Katanya, tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan usaha memburu suspek giat dijalankan.
“Kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan kejadian samun pula disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya.