20 JULAI: Kerajaan mengunjurkan kadar pengangguran di Malaysia tahun ini akan berada antara 3.5 peratus hingga 5.5 peratus berbanding jumlah penduduk Malaysia.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, unjuran itu dibuat berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati kadar pengangguran di Malaysia meningkat kepada 5.3 peratus pada Mei berbanding 5.0 peratus April lalu akibat penularan wabak COVID-19.
Menurut beliau, sektor paling teruk terjejas akibat penularan COVID-19 adalah pelancongan, pembuatan, perkhidmatan serta tidak terkecuali mereka bekerja sendiri yang sebahagian besar ialah pengusaha dan peniaga kecil-kecilan.
Berikutan itu, Saravanan berkata, kumpulan pekerja dalam sektor berkenaan adalah antara berisiko kehilangan pekerjaan dan mata pencarian akibat penularan COVID-19.
“Bagaimanapun, mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia kini semakin pulih pada bulan Mei berbanding April 2020. Ini adalah hasil pelaksanaan pelbagai pakej rangsangan ekonomi yang sedang dilaksanakan kerajaan bagi mencapai sasaran tertentu.
“Di samping itu lebih banyak perniagaan yang sudah dibenarkan kembali beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat turut menyumbang penurunan kadar pengangguran di Malaysia.
“Keadaan ekonomi negara juga semakin pulih selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) telah meningkatkan kembali momentum dan dijangka mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan mendorong majikan mengambil pekerja,” katanya dalam sesi soal jawab lisan sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen PH Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan unjuran kadar pengangguran hingga akhir tahun ini berbanding jumlah penduduk di Malaysia serta langkah di ambil kementerian bagi mengatasi masalah terbabit.
Mengulas lanjut, Saravanan berkata kerajaan juga menganggarkan pasaran buruh negara bertambah baik mulai Jun lalu.
Beliau berkatam perkara itu terbukti apabila data dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan 12.7 juta atau lebih 83.5 peratus pekerja sudah kembali bekerja berbanding 10.2 juta atau 67.2 peratus pada 17 Mei 2020.
“Kerajaan juga menyedari beban kewangan dan kos sara hidup dihadapi oleh rakyat dengan melaksanakan pelaksaannan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan PRIHATIN PKS Tambahan (bernilai RM260 juta).
“Langkah berkenaan berjaya menyelamatkan 2.4 juta rakyat daripada kehilangan pekerjaan, mengurangkan beban aliran 11 juta rakyat dan memberikan sokongan kepada 300,000 syarikat daripada gulung tikar,” katanya.
Dalam pada itu, Saravanan berkata kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga melancarkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) berjumlah RM35 billion bertujuan untuk memulihkan ekonomi negara dan membantu sektor pekerjaan. – Oleh HAIKA KHAZI