20 JULAI: Kerajaan tetap memberi keutamaan terhadap usaha mendapatkan semula aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, dalam menzahirkan objektif tersebut, kerajaan telah mengambil tindakan proaktif merentasi pelbagai negara dan organisasi.
“Diketuai oleh Jabatan Peguam Negara, kerajaan juga sedang mengadakan perbincangan dan rundingan dengan pelbagai organisasi antarabangsa, termasuk Goldman Sachs Group Inc.
“Minggu ini, perwakilan kanan dari Goldman Sachs Group Inc. telah hadir ke Malaysia untuk meneruskan perbincangan dan rundingan dengan kerajaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau juga berharap perbincangan itu akan membuahkan hasil dan membolehkan kedua-dua pihak mencapai kata sepakat mengenai pemulangan aset 1MDB kepada Malaysia.
Yang lebih penting, katanya, adalah komitmen penuh kerajaan untuk memastikan pemulangan aset 1MDB kepada Malaysia.
“Kerajaan berusaha mengambil pelbagai tindakan dan langkah untuk memastikan nilai pemulihan yang adil dan wajar bagi rakyat Malaysia,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN