20 JULAI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah membuat laporan polis berhubung insiden mural gergasi wajah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan pemimpin-pemimpin negara diconteng dengan kata-kata kesat.
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, laporan dibuat di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam agar tindakan undang-undang dapat diambil terhadap pelaku vandalisme terbabit.
Menurut beliau, MBSA akan mengambi tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan vandalisme di tempat awam.
“Tindakan akan diambil mengikut Undang-Undang Kecil Vandalisme (MBSA) 2005 sekiranya didapati mana-mana pihak melakukan vandalisme.
“MBSA juga ingin menasihatkan kepada semua pihak agar merujuk terlebih dulu kepada MBSA sebelum melakukan aktiviti mural di tempat awam di kawasan pentadbiran MBSA,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Shahrin menambah, perbuatan vandalisme itu amat dikesali kerana mural tersebut diabadikan bagi menghargai peranan dan sumbangan semua pihak khususnya pemimpin negara yang bekerja keras dan komited menangani wabak COVID-19.
“MBSA juga mengambil langkah segera mengecat semula dinding itu dengan warna putih,” jelasnya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH