20 JULAI: Berikutan peningkatan semula kes baharu COVID-19, kerajaan sedang menimbang untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perincian mengenainya akan diumumkan apabila peraturan yang berkaitan dimuktamadkan oleh kerajaan.
Selain itu, jika perlu kata beliau, kerajaan juga akan menempatkan rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air dari luar negara di pusat-pusat kuarantin untuk mengawal kes-kes import dengan lebih berkesan.
“Penguatkuasaan undang-undang juga akan ditingkatkan dengan denda yang lebih berat akan dikenakan ke atas mereka yang didapati melanggar undang-undang dan peraturan,” katanya dalam perutusan khas Perdana Menteri hari ini.
Pemakaian pelitup muka di tempat awam sudah diwajibkan di kebanyakan negara Eropah seperti Jerman dan Sepanyol dengan terbaru, England akan melaksanakannya bermula Khamis ini.
Menurut pengumuman baru-baru ini, denda 100 pound akan dikenakan kepada mereka yang ingkar.
Dalam perutusan khas hari ini, Muhyiddin mengingatkan rakyat Malaysia supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dengan penuh berdisiplin sama seperti mana ditunjukkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, walaupun kes COVID-19 turun berbanding di awal PKP, namun rakyat tiada pilihan kecuali mematuhi SOP dan mengamalkan penjarakan sosial kerana ancaman wabak COVID-19 masih ada.
“Kita baru sahaja melihat kesan positif daripada tindakan tegas kerajaan dan disiplin rakyat yang tinggi semasa tempoh PKP dilaksanakan. Ekonomi negara kita telah mula rancak kembali dan kita juga telah dapat menikmati semula kehidupan kita dengan mengamalkan kebiasaan baharu.
“Namun, jangan kita lalai dan alpa. Saya nak mengingatkan sekali lagi pandemik COVID-19 masih belum berakhir. Jadi sama-samalah kita beristiqamah dalam mengekalkan kejayaan kita melawan wabak COVID-19.
“Saya doakan semoga kita semua kekal sihat, kekal sejahtera dan kekal aman bahagia,” ujarnya.
Tegas Perdana Menteri, kes positif COVID-19 telah kembali mencatatkan angka dua digit sejak beberapa hari yang lalu cukup membimbangkan dan situasi ini tidak boleh diambil mudah oleh semua pihak.
Katanya, sudah tentu tiada siapa mahu kerajaan kembali melaksanakan lock down sekiranya kes-kes COVID-19 meningkat dengan mendadak dan beliau sendiri berdoa dan berharap tidak perlu sampai ke tahap itu.
“Cukuplah tiga bulan kita semua berkurung di rumah untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19. Ekonomi negara kita terjejas teruk, perniagaan mengalami kerugian dan ramai yang hilang pekerjaan. Sudah tentu kita tidak mahu kembali hidup dalam kedaan lock down seperti itu.
“Sekiranya berlaku peningkatan kes COVID-19 secara mendadak dan memerlukan kerajaan menguatkuasakan semula PKP, impaknya kepada ekonomi amat besar.
“Penutupan semula sektor-sektor ekonomi boleh menyebabkan negara
kehilangan sekurang-kurangnya RM2 billion sehari dan secara langsung menyebabkan kehilangan sumber pendapatan bagi jutaan pekerja di Malaysia,” katanya. -M. HERMAN HAMID