20 JULAI: Ahli Parlimen Bebas Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik dibidas kerana mendakwa peruntukan RM1 bilion untuk membaik pulih dan menaik taraf sekolah-sekolah daif di Sarawak merupakan hadiah daripada kerajaan terdahulu di bawah Pakatan Harapan (PH).
Ahli Parlimen GPS Sibuti, Lukanisman Awang Sauni menegaskan, peruntukan tersebut sebenarnya adalah dalam bentuk pinjaman yang perlu dibayar balik oleh kerajaan negeri Sarawak.
“Saya amat marah dengan kenyataan itu kerana RM1 bilion berkenaan bukannya hadiah kerajaan kepada rakyat Sarawak sebaliknya duit RM1 bilion berkenaan adalah hutang perlu dibayar mengikut jadual oleh kerajaan negeri.
“Malah mantan Menteri Kewangan (Ahli Parlimen PH Bagan, Lim Guan Eng) menggambarkan kerajaan negeri Sarawak berhutang terlalu banyak dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjelaskan, sebelum ini, kerajaan Barisan Nasional (BN) pernah mencadangkan peruntukan RM1 bilion untuk membaik pulih sekolah daif pada Belanjawan 2017, namun ia dibatalkan apabila PH mengambil alih kerajaan pada 2018.
“Isu sekolah daif terus dipolitikkan. Jawapan menteri seperti isu perbekalan elektrik di Sarawak kerajaan negeri sudah menghulurkan RM50 juta. Di dalam Dewan Parlimen menteri berkenaan memaklumkan sebanyak sembilan sekolah akan diselesaikan.
“Bagaimana, saya mahu meletakkan muka saya berdepan dengan masyarakat di Sibuti. Bayangkan salah sebuah sekolah di Sibuti iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Saeh yang terletak beberapa meter sahaja dari tiang yang menyalurkan bekalan elektrik ke rumah panjang tetapi sekolah tidak mempunyai bekalan diesel. Perbekalan diesel ini tidak membolehkan SK Seah beroperasi 24 jam,” katanya.
Sehubungan itu, Lukanisman menjemput Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Jidin untuk mengunjungi Sarawak agar beliau dapat melihat sendiri masalah sekolah daif dan kurang murid khususnya di kawasan Parlimen Sibuti. – Oleh HAIKA KHAZI