21 JULAI: Kerajaan sedang meneliti pelbagai pendekatan baharu bersama bank tempatan bagi membantu golongan sasar selepas tempoh moratorium pinjaman bank berakhir September depan.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan juga masih mengadakan perbincangan dengan bank tempatan berhubung kemungkinan memberikan lanjutan atau penangguhan bayaran balik pinjaman selepas tempoh morotarium tamat nanti.
Menurut beliau, kerajaan dan bank tempatan kini meneliti langkah seterusnya untuk merangka inisiatif atau bantuan fiskal secara lebih bersasar.
“Satu contoh ialah dengan memanjangkan tempoh bayaran, sekali gus mengurangkan jumlah ansuran bulanan, satu lagi contoh, ubah terma dan syarat dan kurangkan kadar faedah.
“Kita juga teliti pemberian pelepasan lain sehingga peminjam stabil, cuma sekarang kita galakkan semua peminjam untuk berjumpa dengan bank atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), selain mendapatkan nasihat mengenai skim penyelesaian pinjaman kecil,” katanya dalam sesi waktu pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Tengku Zafrul menjawab soalan Ahli Parlimen Bebas Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah tentang strategi kerajaan untuk mengembalikan defisit fiskal ke paras tiga peratus dalam masa dua ke tiga tahun setelah mencapai 6.9 peratus selepas memperkenalkan beberapa pakej rangsangan semasa pandemik COVID-19.
Dalam pada itu, beliau mengakui bahawa terdapat angka kurang tepat berhubung pemberian bantuan untuk rakyat yang dikemukakan dalam perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, beliau menjangka Pejabat Perdana Menteri akan membuat pembetulan mengenai perkara itu. – Oleh HAIKA KHAZI