21 JULAI: Polis mengambil keterangan dua pengarah syarikat pengeluar kasut yang dikesan mencetak logo Jata Negara di dalam kasut hari ini.
Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan), Jabatan Siasatan Jenayah, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, kertas siasatan dibuka selepas menerima laporan di Selangor berkaitan isu ini.
Katanya, kedua-dua mereka memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dan syarikat pengeluar kasut itu beroperasi di Kajang.
“Jika perlu, kita akan memanggil beberapa individu lain bergantung pada hasil siasatan.
“Difahamkan sebelum ini pihak syarikat juga sudah membuat permohonan maaf,” katanya seperti dilaporkan BH Online hari ini.
Beliau yang ditemui di pejabatnya di Bukit Aman berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 5(1) Akta Lambang dan Nama Mencegah Penggunaan Tidak Wajar, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sabtu lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mahu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap syarikat kasut yang didakwa mencetak logo Jata Negara itu, walaupun membuat permohonan maaf secara terbuka atas kesilapan itu.
Saifuddin berkata, tindakan tegas perlu diambil kerana lambang kebesaran negara termasuk Jata Negara mesti dihormati.
Kejadian itu adalah yang kedua selepas penghinaan dalam penerbitan sebuah buku baru-baru ini.
Sebelum ini, media melaporkan pengeluar kasut terbabit membuat permohonan maaf secara terbuka, selepas gambar kasut keluarannya yang mengandungi logo Jata Negara tular di media sosial dan mengarahkan pemberhentian pengeluaran produk itu dengan serta-merta.