21 JULAI: Kementerian Wilayah Persekutuan merancang untuk mewujudkan perkampungan al-Quran di Putrajaya bagi memartabatkan budaya Islamik dan ilmu al-Quran kepada masyarakat dalam bentuk yang lebih berkesan.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, tapak pembinaan perkampungan itu dikenal pasti di Presint 14, Putrajaya dan pihaknya sedang meneliti pembinaan projek berkenaan yang berkonsepkan al-Quran.
“Kami juga sedang meneliti cadangan untuk membina masjid baharu yang bernilai RM50 juta di tapak yang sama dengan perkampungan al-Quran termasuk kita akan mewujudkan bebeapa studio yang akan membuat kupasan-kupasan ilmu al-Quran dalam pelbagai bentuk dan aspek.
“Perkampungan yang akan menelan belanja lebih RM150 juta dan akan menjadi satu daripada pusat yang boleh dilawati oleh para pengunjung yang mencintai ilmu Tuhan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan al-Quran Mushaf Putrajaya di surau Bangunan Parlimen, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan
Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) hari ini melancarkan Al-Quran Al-Karim Mushaf Putrajaya sempena Sambutan Jubli Perak Putrajaya 2020 dan Nuzul Al-Quran 1441H.
Annuar berkata, penerbitan Al-Quran Al-Karim Mushaf Putrajaya yang mempunyai identiti tersendiri itu merupakan usaha sama antara Perbadanan Putrajaya, Yayasan Restu dan Nasyrul Quran Putrajaya dengan sokongan KWP bagi menyemarakkan pembudayaan al-Quran dalam kalangan masyarakat serta mewujudkan generasi al-Quran sepanjang zaman.
Beliau menambah, al-Quran ini sangat berbeza dengan penjualan di pasaran kerana ini mempunyai pelbagai ilmu-ilmu tambahan dan dilakukan kajian yang teliti oleh pakar-pakar al-Quran.
“Sumber rekaan struktur dan motif Al-Quran Al-Karim Mushaf Putrajaya diperoleh dari pelbagai kategori sumber seperti melalui artifak dan warisan seni bina, reka tekstil, reka logam, hias manuskrip dan sebagainya.
“Sumber motif turut diperoleh dari landskap, flora dan persekitaran di Putrajaya di samping daripada maklumat lain seperti sumber ekonomi, pentadbiran dan politik, sains dan teknologi, pendidikan dan sebagainya.
“Ia diterbitkan dengan versi MUFIQ (Mudah Untuk Fahami Isi Quran) dalam versi bahasa Melayu iaitu Al-Quran Al-Karim bertajwid dengan terjemahan berserta ensiklopedia al-Quran selain menggunakan gaya seni khat nasakh pada bahagian ayat dan khat thuluth pada bahagian tajuk surah dan bilangan juzuk,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH