21 JULAI: Kerajaan diminta mempermudahkan proses tuntutan pembayaran elaun khas kepada pegawai dan anggota kesihatan serta petugas barisan hadapan lain.
Ahli Parlimen GPS Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, tindakan itu perlu kerana beliau banyak menerima aduan daripada petugas barisan hadapan terutama doktor dan anggota kesihatan yang belum menerima bayaran elaun khas sehingga sekarang kerana pelbagai masalah birokrasi.
Beliau yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke China berkata beliau juga melahirkan rasa kesal kerana banyak peralatan untuk kegunaan petugas barisan hadapan yang lambat sampai ke hospital di Bintulu.
“Kenapa Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak ambil alih terus urusan pembekalan peralatan kesihatan berkenanaan bagi mempercepatkan proses perolehannya kepada petugas barisan hadapan,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasihh titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam perkembangan lain, King Sing turut meminta Kementerian Kesihatan menambah kakitangan di Bintulu bagi meningkatkan keberkesanan usaha menangani kes penularan COVID-19 di kawasan itu. – Oleh HAIKA KHAZI