21 JULAI: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu sambutan ulang tahun ke-50 penggubalan Rukun Negara tahun ini digunakan sebaiknya untuk menyemai kembali semangat patriotisme.
Titah baginda, Rukun Negara mampu menjadi tunjang dalam mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan rakyat, serta mencipta sebuah masyarakat yang adil supaya kemakmuran negara dapat dinikmati bersama.
Selangor Royal Office dalam satu kenyataan melalui Facebook memaklumkan, baginda sudah lama berhasrat melihat keutuhan perpaduan serta keharmonian rakyat berbilang kaum di Malaysia.
“Walaupun Malaysia sentiasa mengejar arus kemajuan namun Rukun Negara perlu sentiasa dihayati oleh rakyat kerana pembentukannya adalah mengikut acuan masyarakat Malaysia.
“Baginda berpandangan, pada era 80-an, pengisian dan penerapan nilai-nilai Rukun Negara tidak begitu diamalkan dan diterjemah dalam bentuk ikatan nasional yang kukuh.
“Justeru, Baginda mahu sambutan ke-50 penggubalan Rukun Negara tahun ini digunakan sebaiknya untuk menyemai kembali semangat patriotisme,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, baginda menekankan perkara asas terpenting yang perlu diterapkan dalam naluri setiap rakyat bagi membentuk sebuah bangsa Malaysia yang benar-benar patriotik dan memelihara kemakmuran, keamanan dan kesejahteraan, adalah Rukun Negara.
“Lima rangkai ideologi negara itu kini baginda abadikan dalam satu karya ukiran kayu papan tanda simbolik tradisional masyarakat Cina di Malaysia, yang kini ditempatkan di Istana Alam Shah, Klang,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, berikutan kagum melihat hasil karya pewaris seni pembuatan papan tanda generasi ketiga yang berasal dari Melaka, Ting Wee Chia, Sultan Selangor menitahkan beliau mengukir sebuah papan tanda istimewa dengan paparan Rukun Negara dalam dua bahasa, bersesuaian dengan kepakaran Wee Chia dalam kaligrafi Cina.
Katanya, Sultan Selangor pernah menemui Wee Chia, tiga tahun lalu, di mana baginda tertarik dengan hasil ukiran kayu yang dipamerkan.
Justeru, baginda berkenan untuk Wee Chia menyiapkan sebuah ukiran yang memuatkan prinsip Rukun Negara dalam tulisan Rumi dan Cina.
“Papan tanda Rukun Negara itu diperbuat daripada sekeping kayu balak jenis Mersawa yang besar dengan saiz lilitan luas berusia sekurang-kurang 100 tahun.
“Kerja-kerja memahat menggunakan tangan sepenuhnya, melicin dan memperkemaskan papan tanda ini mengambil masa enam bulan bagi memastikan kualiti yang tinggi dan kekal sempurna seiring peredaran masa sesuai dengan nilai-nilai yang dibawa oleh Rukun Negara itu sendiri,” menurut kenyataan itu.