21 JULAI: Ahli Parlimen Bersatu Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh memohon agar peruntukan khas kecemasan diwujudkan kerajaan bagi memberi bantuan segera kepada sekolah yang tidak selamat diduduki.
Beliau turut mencadangkan agar Kementerian Pendidikan perlu membangunkan satu prosedur operasi standard (SOP) kepada pihak sekolah supaya laporan secara bulanan dapat dihantar kepada Kementerian Kerja Raya bagi memastikan tiada lagi sekolah yang cenderung menyebabkan kecederaan kepada pelajar.
“Baru-baru ini terdapat satu kes sebuah dewan asrama puteri Sekolah Agama Muhammadiah, Pekan Sabak Bernam telah runtuh kerana struktur bumbung yang reput dan tidak selamat diduduki lebih membimbangkan apabila terdapat satu lagi bagunan yang diisytiharkan oleh JKR tidak selamat diduduki.
“Oleh itu, saya mohon jasa baik Kementerian Pendidikan bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya untuk melakukan pemeriksaan semua sekolah di seluruh negara khususnya Sabak Bernam. Jangan sehingga ada kematian baru tindakan nak dilakukan,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Fasiah berharap agar kerajaan dapat menyelesaikan pembinaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam yang sehingga kini status belum lagi bermula.
Menurut beliau, pembinaan itu perlu disegerakan kerana PPD tersebut masih beroperasi menggunakan pejabat sementara sejak tahun 2013.
“Saya merayu kepada kerajaan berharap PPD Sabak Bernam baharu dapat disegerakan kerana PPD sekarang ni menguruskan 64 buah sekolah dalam bilangan pelajar seramai 22207 orang serta menguruskan 2391 org guru.
“Saya difahamkan kelewatan ini berlaku disebabkan status tanah kelulusan status tapak sedia dari Malay School Reserve kepada pentadbiran tanah Persekutuan. Saya berharap masalah ini akan diatasi kerana telah berlarutan sekian lama,” katanya.
Mohd Fasiah turut berharap agar kerajaan dapat menyelesaikan kerosakan palong di Sabak Bernam yang telah berusia lebih 30 tahun yang menyebabkan tanaman padi tidak dapat dijalankan secara serentak.
“Hasil padi ini telah merosot dari lapan tan hanya kepada dua tan disebabkan pesawah mengalami kerugian keana pendapatan tidak dapat menampung kos yang ditanggung oleh pesawah,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH