21 JULAI: Serangan melampau Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun minggu lalu bukan sahaja perbuatan yang biadab malah menyerlahkan perangai pembangkang yang kebudak-budakan dan tidak menghormati sistem berparlimen.
Sikap mereka yang memualkan itu diselar oleh empat Ahli Parlimen Perikatan Nasional iaitu Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar; Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Edmund Santhara; Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju dan Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin.
Keempat-empat Ahli Parlimen terbabit yang juga timbalan menteri Kabinet dan bekas pemimpin PH mengingatkan pihak pembangkang bahawa rakyat dapat melihat sendiri sikap tidak sopan Ahli Parlimen pembangkang yang mengejek dan menjerit untuk mengganggu Azhar ketika beliau mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.
“Mereka antaranya mendakwa pelantikan Azhar tidak dibuat melalui undian. Jelas Ahli Parlimen pembangkang ini tidak tahu atau dengan sengaja cuba mengetepikan Peraturan Mesyuarat 4(3),” kata mereka dalam satu kenyataan bersama, hari ini.
Seperti yang diperuntukkan dalam Peraturan Mesyuarat 4(3) Dewan Rakyat, seseorang individu boleh diisytihar sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat tanpa undian jika hanya ada seorang yang dicalonkan, manakala undian perlu dilakukan sekiranya terdapat lebih daripada seorang calon bagi mengisi jawatan berkenaan.
Mereka menambah, Peraturan Mesyuarat sama juga digunakan oleh PH ketika mereka melantik Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat pada Jun 2019, ketika gabungan itu menjadi kerajaan.
Namun, kata mereka, pembangkang pada ketika itu menghormati proses Mohamad Ariff mengangkat sumpah walaupun pada mulanya membantah pelantikan itu.
Kamaruddin, Edmund, Ali dan Jonathan memberitahu, sikap pembangkang pada masa itu adalah berbeza dengan sikap buruk, keji dan jelik yang ditunjukkan Ahli-ahli Parlimen PH ketika Azhar mengangkat sumpah.
Mereka turut mengingatkan Ahli-ahli Parlimen PH bahawa mereka sendiri meletakkan kepercayaan kepada Azhar untuk dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini.
“Kami menggesa Ahli-ahli Parlimen PH memainkan peranan sebagai pembangkang secara bertanggungjawab, apatah lagi ketika menjadi kerajaan, ramai daripada mereka tidak gusar jika kembali menjadi pembangkang kerana sudah lama memainkan peranan itu,” jelas mereka.