21 JULAI: Sidang Dewan Rakyat hari ini dikejutkan dengan pendedahan Ahli Parlimen BN Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berhubung keputusan kerajaan terdahulu di bawah Pakatan Harapan (PH) melantik Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) yang mempunyai modal berbayar hanya RM1 untuk menstruktur semula Lembaga Tabung Haji.
Bekas Pengerusi TH tersebut berkata, maklumat itu baru sahaja diperolehinya hasil carian dalam sistem Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Beliau seterusnya mempersoalkan keupayaan UJSB yang pernah menerima suntikan dana RM19.1 bilion untuk menyelesaikan masalah kewangan TH yang didakwa kononnya melibatkan nilai RM29 bilion.
“Setakat hari ini syarikat ini telah mengambil alih aset-aset ini sampai hari ini hanya membayar RM100 juta sahaja,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Abdul Azeez turut mendedahkan bahawa semua perabot dan peralatan elektrik di empat hotel milik TH yang dipindah milik kepada UJSB dijual pada harga RM10,000 sahaja.
Beliau mendakwa, kelulusan penjualan aset TH pada harga yang sangat rendah itu dinyatakan oleh seorang menteri PH secara bertulis.
“Itulah kepandaian kehebatan kerajaan PH terdahulu kononnya telus,” jelasnya.
Sehubungan itu, Abdul Azeez menegaskan, kerajaan Perikatan Nasional (PN) mesti menubuhkan suruhan siasatan diraja (RCI) bagi membongkar kebenaran di sebalik skandal yang menyedihkan umat Islam di negara ini.
“Sekiranya RCI ditubuhkan, saya bersedia menjadi orang pertama disiasat dan memberi kerjasama bagi membuktikan kebenaran dan hakikat sebenar yang berlaku dalam TH,” ujarnya.
Sementara itu, beliau menempelak Ahli Parlimen Bebas Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dalam perbahasannya sebelum itu membangkitkan tentang siasatan yang dilakukan oleh pihak berkuasa melibatkan pemimpin-pemimpin pembangkang.
Abdul Azeez memberitahu, beliau sendiri pernah ditahan di dalam lokap selama 11 malam manakala akaun-akaun bank milik ibu dan anak-anaknya dibekukan.
“Undang-undang menyatakan hanya setahun sahaja boleh sita, dah dua tahun. Inilah kerajaan kartun di bawah kepimpinan YB Langkawi, dwistandard,” ujarnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN