21 JULAI: Kementerian Pengangkutan meramalkan syarikat penerbangan dijangka mengalami kerugian RM10.9 bilion bagi suku kedua tahun kewangan 2020.
Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata, kementerian juga menjangkakan syarikat operator lapangan terbang akan mengalami kerugian RM2.1 bilion bagi tempoh sama tahun ini.
Beliau berkata perkara itu realistik selepas 169,728 penerbangan domestik dan antarabangsa dibatalkan akibat penularan wabak COVID-19, sejak Januari hingga Jun lalu.
Malah, daripada jumlah itu, 114,693 adalah penerbangan domestik dari Penerbangan Malaysia Berhad (MAB); AirAsia Berhad dan Malindo Air, manakala 55,035 lagi membabitkan penerbangan antarabangsa.
“Jika pengiraan dibuat mengikut pecahan, MAB sudah membatalkan 45,680 penerbangan antarabangsa dan domestik; AirAsia (106,943) dan Malindo Air sebanyak 17,105 penerbangan.
“Jumlah penumpang yang terjejas juga agak besar iaitu 4.316 juta membabitkan 1.4 juta penumpang MAB, 2.861 penumpang AirAsia dan 540,000 penumpang Malindo Air,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen GPS Sibuti, Lukanisman Awang Sauni pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Lukanisman ingin mengetahui mengenai berapa banyak penerbanganan yang dibatalkan sejak COVID-19 dan jumlah penumpang yang terkesan serta jumlah bayaran balik kepada penumpang.
Dalam pada itu mengenai bayaran balik, Ka Siong berkata, terdapat tiga kategori penumpang yang boleh menikmati kemudahan itu.
Mengulas lanjut, Ka Siong berkata kategori pertama adalah penumpang yang dibenarkan menunda tiket penerbangan ke satu tarikh lain yang membabitkan 1.211 juta penumpang iaitu 1.172 juta dari MAB dan 38,558 dari AirAsia.
“Kategori kedua penumpang dibenarkan membuat bayaran balik dalam bentuk kredit yang boleh digunakan untuk membeli tiket penerbangan ke destinasi sama atau lain dalam tempoh dua tahun.
“Selain itu sebanyak 1.967 juta penumpang terbabit iaitu 37,188 dari MAB; AirAsia (1.875) dan Malindo Air (54,773),” katanya.
Ka Siong berkata, kategori ketiga adalah penumpang yang diberi bayaran balik sepenuhnya kos tiket penerbangan termasuk fi dan caj berkaitan, yang membabitkan 62,870 penumpang dengan kos RM400 juta.
Beliau berkata, seramai 190,444 penumpang adalah dari MAB membabitkan kos RM295 juta, manakala AirAsia sebanyak 437,000 penumpang membabitkan kos sebanyak RM105 juta. – Oleh HAIKA KHAZI