21 JULAI: Ahli-ahli Parlimen yang didapati menggunakan perkataan berbaur hasutan, rasis, biadab dan seksisme dalam sidang Dewan Rakyat akan dikenakan tindakan disiplin.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, perkara tersebut telah pun dibincangkan bersama wakil setiap parti.
Menurut beliau, mereka sebulat suara memperbaharui komitmen untuk mempertahankan Majlis-Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat bagi memastikan tiada penggunaan perkataan tidak wajar oleh Ahli-ahli Parlimen.
“Saya dan Timbalan-timbalan Yang Dipertua akan ambil tindakan berdasarkan Majlis-Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat jika masih disebut oleh Ahli-ahli Yang Berhormat di dalam dewan (Dewan Rakyat) ini.
“Diharap Ahli-ahli Yang Berhormat bersama-sama bagi menjamin dewan berkualiti dan beradab sopan,” katanya sebelum memulakan sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Azhar turut mengingatkan Ahli-ahli Parlimen agar lebih fokus dalam menjadikan Dewan Rakyat sebagai tempat untuk menyelesaikan permasalahan yang berlaku dalam kalangan rakyat.
“Saya ingatkan keberadaan kita di sini membawa tanggungjawab berat iaitu harapan rakyat pada kita semua. Rakyat berharap agar masalah mereka dibincangkan di dewan ini dan dapat dicapai.
“Saya seru ahli-ahli Yang Berhormat untuk berbahas dalam tertib dan tatasusila dengan sopan supaya nasib rakyat dapat dibela dan dapat kesucian dewan ini dijaga,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH