22 JULAI: Operasi Projek Rangkaian Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan tiga negeri di wilayah itu dengan Negeri Sembilan dan ibu negara dijangka boleh bermula seawal Januari 2027.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, berdasarkan taklimat yang diterimanya, projek infrastruktur mega tersebut dijangka siap penghujung 2026.
Katanya, projek ini akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di Pantai Timur dan boleh menjadi enjin pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan untuk tempoh beberapa dekad datang.
“Projek ini juga dijangka mampu merancakkan perdagangan di antara Malaysia dan China. Kita berharap projek yang dibiayai China ini membolehkan eksport komoditi negara khususnya minyak, gas, kelapa sawit, getah dan produk pengilangan dapat menembusi pasaran republik itu dengan lebih meluas.
“Jika pandemik Covid-19 ini berakhir sudah tentu kemasukan pelancong China dapat ditambah dan perolehan hasil pelancongan negara akan turut bertambah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Abdul Rahim, landasan kereta api ECRL ini akan menggunakan landasan ‘standard gauge’ berbanding landasan berkembar sedia ada yang mengguna ‘three metre gauge’ dan ini adalah satu aspek istimewa projek ini.
Katanya, penggunaan saiz landasan ‘standard gauge’ ini akan membolehkan pemasangan gerabak (rolling stock) yang lebih laju dari biasa iaitu dijangka mengguna tren dengan kelajuan 160 kilometer (km) sejam.
“Standard gauge boleh mengguna tren laju sehingga melebihi 300 km sejam mengikut kehendak operator perkhidmatan,” jelasnya.
Tambah beliau, jarak landasan setelah dirundingkan semula melalui ECRL 2.0 ialah 640 km iaitu penurunan sejauh 48 km berbanding rancangan asal 688 km dalam ECRL 1.0.
Katanya, stesyen kereta api juga dikurangkan dari 26 terminal kepada 20 buah keseluruhan.
“Penurunan jarak 48 km tersebut ini juga dijangka dapat mengurangkan kos sebanyak RM21.5 bilion, iaitu penurunan kos dari RM65.5 bilion dalam ECRL 1.0 kepada RM44 bilion dalam ECRL 2.0.
“Kaedah pembiayaan inisiatif swasta yang digunakan melalui pembiayaan dari kerajaan China ini membolehkan negara dan rakyat khusus di Pantai Timur memperoleh perkhidmatan pengangkutan ini jauh lebih awal,” ujarnya.