22 JULAI: Akta Pilihan Raya 1958 (Akta 19) perlu dipinda agar hanya parti yang dipertandingkan dalam pilihan raya dan bukannya calon secara individu bagi membanteras perbuatan lompat parti dalam kalangan wakil rakyat.
Ahli Parlimen BN Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengemukakan cadangan bernas itu ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau percaya pindaan yang dicadangkan tersebut berupaya menyelesaikan banyak masalah yang ditimbulkan oleh mana-mana wakil rakyat yang meninggalkan partinya.
“Bila kita ada pilihan raya, sebagai contoh Padang Rengas, Barisan Nasional (BN) menang tetapi saya tak bertanding sebagai individu.
“Bila BN menang, Ahli Parlimen kami Padang Rengas adalah Nazri Aziz. Kalau Nazri Aziz satu hari nanti dia dilantik jadi menteri, kalau ada perbezaan pendapat dengan Perdana Menteri, saya tak boleh terima, saya berhenti seoranglah.
“Saya tak bawa kerusi Padang Rengas dengan saya,” katanya bagi memberi gambaran yang lebih jelas tentang cadangan pindaan berkenaan.
Mohamed Nazri menambah, sekiranya beliau keluar dari BN, parti akan melantik ahli yang lain untuk mengisi kekosongan kerusi Parlimen tersebut.
Beliau percaya, langkah berkenaan bukan sahaja boleh menghalang keruntuhan sesebuah parti atau kerajaan, malah mampu membanteras rasuah.
Mohamed Nazri mendakwa, sesetengah Ahli Parlimen mengambil kesempatan dari ‘masa menuai’ yang timbul apabila sesebuah kerajaan jatuh dengan ‘menjual’ kerusi Parlimen yang disandangnya.
“Kalau di sana ada 111, di sana ada 109, mungkin ada dua atau tiga Ahli Parlimen cari duit, terbuka untuk dirasuahkan.
“Jadi kalau kita bertanding lambang, kita tak boleh jual diri kita. Nak jual lambang? Presiden ada di depan,” jelasnya.
Ahli Parlimen PH Kota Raja, Mohamad Sabu ketika mencelah perbahasan Mohamed Nazri turut menyifatkan cadangan itu sebagai pandangan yang bernas.
Walau bagaimanapun, Mohamed Nazri menyatakan bahawa beliau tidak memerlukan sokongan daripada pembangkang kerana apa yang dicadangkannya itu adalah betul.
“Ni perangai diaoranglah, nak ‘score point’ sikit, tumpang,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN