22 JULAI: Surau-surau di Wilayah Persekutuan kini boleh memohon kebenaran untuk menganjurkan solat Jumaat bagi umat Islam yang tidak dapat menunaikan solat di masjid.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, keputusan muzakarah juga membenarkan orang ramai untuk menunaikan solat Jumaat di ruang yang terhad dibuka di luar ruang masjid dan surau yang dibenarkan oleh pihak berwajib.
“Biasanya kita akan lakukan muzakarah kebangsaan dan keputusan baru-baru ini nyatakan solat Jumaat mesti ikut prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara dan Nasihat Kementerian Kesihatan bagi penjarakan sosial ini tetap kita kekal namun untuk menjustifikasikan hal ini kami telah merujuk ulama sedunia termasuk Mufti Mesir dan juga pendapat-pendapat ulama-ulama di Arab Saudi.
“Jadi, apa kita putuskan kita laksanakan solat Jumaat dengan penjarakan sosial dan dibenarkan untuk solat Jumaat di luar ruang utama solat di samping di saat sama di Wilayah Persekutuan telah memilih atau membenarkan surau-surau memohon solat jumaat. Alhamdulillah, kebanyakan memberi respons baik,” katanya dalam sesi soal jawab lisan sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Zulkifli menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen PH Shah Alam, Khalid Abdul Samad sama ada kerajaan membenarkan masjid dan surau tidak dibenarkan untuk diadakan solat Jumaat sehingga di luar ruang masjid sambil mengamalkan SOP.
Terdahulu, bagi menjawab soalan asal Ahli Parlimen PAS Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli yang bertanya tentang usaha yang dibuat dalam menyelesaikan isu-isu agama berkaitan pelaksanaan ibadah sepanjang penularan wabak COVID-19, Zulkifli berkata, pihaknya telah mengarang dua buku iaitu ‘Doaku’ dan ‘Soal Jawab Fiqh’ dalam mengambil kira keperluan tersebut secara mendalam dari sudut agama.
Menurut beliau, buku tersebut boleh didapati secara percuma di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan boleh dimuat turun buku tersebut melalui laman sesawang rasmi JPM.
“Dilaporkan seramai 50,000 pengunjung telah memuat naik bukut-buku itu termasuk disebarkan di WhatsApp dan Telegram.
“Selain itu, risalah Al-Bayan yang kini masuk kepada siri kedua turut memberi pencerahan kepada umat Islam tentang penangguhan ibadah haji, penjelasan berhubung isu korban, hakikatnya kita berusaha mungkin memberi kempen termasuk kita akan edarkan,” katanya.
Tambah beliau, beberapa kaedah juga akan dikaji semua bagi mencapai maqasid syariah dalam menjaga nyawa di samping memelihara kesucian agama serta sebagai salah satu usaha yang mampu menjadi panduan orang ramai pada masa akan datang. – Oleh HUSSAINI AMRAN