23 JULAI: Operasi Pejabat Pilihan Raya Negeri (PPN) Sarawak ditutup sementara bermula Isnin lalu sehingga 2 Ogos ini selepas seorang daripada kakitangannya didapati positif Covid-19.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ikmarudin Ishak, dalam kenayaan hari ini berkata, kesemua kakitangan PPN Sarawak yang mempunyai kontak rapat dengan kakitangan itu telah diarah menjalani saringan Covid-19 serta kuarantin kendiri wajib selama 14 hari.
Katanya, ia selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan pandemik Covid-19 yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.
“Susulan daripada itu, operasi pejabat PPN Sarawak ditutup sehingga selesai tempoh kuarantin berkenaan memandangkan tiada kakitangan yang bertugas di pejabat itu sepanjang tempoh kuarantin,” katanya.
Katanya pada masa yang sama, pembersihan dan nyah kuman di ruang dan kawasan sekitar pejabat telah dilaksanakan sebagai langkah pencegahan penularan wabak berkenaan.
Beliau berkata urusan-urusan pilihan raya seperti pendaftaran dan semakan pengundi serta yang berkaitan masih boleh dilakukan melalui portal rasmi SPR di www.spr.gov.my, https://pengundi.spr.gov.my, aplikasi MySPRDaftar dan MySPRSemak, Hotline SPR di 03-88927018 atau SMS ke 15888 (taip SPR SEMAKNO. KAD PENGENALAN).