23 JULAI: Ahli Parlimen BN Kimanis, Datuk Mohamad Alamin menyifatkan penularan video kononnya beliau mengalu-alukan kerajaan Pusat mengambil semua kekayaan negeri Sabah sebagai fitnah bagi melaga-lagakan kepemimpinan Perikatan Nasional (PN).
Jelas beliau, penularan video dan ucapan yang dilontarkan oleh Ahli Parlimen Warisan Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman dalam sidang Dewan Rakyat hari ini disifatkan sebagai satu fitnah yang mahu memburuk-burukkan dirinya dalam kalangan masyarakat Sabah.
“Pihak pembangkang putar belit ucapan saya ketika menyampaikan ucapan itu dalam keadaan tegas dengan nada yang marah dalam penyampaian waktu itu.
“Saya sampaikan guna bahasa sinis kepada kerajaan hari ini ambil semua tetapi ingat kembalikan hak erti kata lain kerajaan pusat datang ke Sabah terokai sebanyak mana tapi jangan lupa kembalikan hak kami seperti termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963.
“Video tersebut hanya mereka ambil suku video sahaja. Yang saya hairan Ahli Berhormat Sepanggar tidak faham gaya penyampaian dan gaya bahasa saya. Mungkin dia lulusan dari AS mungkin dia tak faham bahasa sastera,” katanya dalam sidang media di Bilik Media Bangunan Parlimen, hari ini.
Mohamad memberitahu, tindakan Mohd Azis yang memburuk-burukkan namanya disebabkan beliau telah kehabisan idea dan modal.
Beliau menambah, kerajaan Pusat oleh meneroka sebanyak mungkin hasil bumi di Sabah, namun perlu disalurkan semula dalam peruntukan pembangunan yang lebih besar kepada negeri itu. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH