23 JULAI: Kementerian Pembangunan Luar Bandar memperuntukkan sebanyak RM4.8 bilion atau 19 peratus bagi pembangunan infrastruktur di Sabah termasuk program bekalan air, pembinaan jalan raya dan elektrik di luar bandar dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, daripada jumlah itu lebih RM1.4 bilion diperuntukkan kerajaan untuk pembangunan jalan raya di kawasan luar bandar di Sabah sahaja.
Beliau berkata, sebanyak RM1.37 bilion diperuntukkan untuk menyiapkan infrastruktur dan pembangunan program bekalan air luar bandar di Sabah, manakala RM118.7 juta lagi untuk membekalkan bekalan elektrik di negeri berkenaan.
“Tindakan kerajaan memperuntukan lebih 19 peratus daripada peruntukan keseluruhan pembangunan luar bandar adalah amat besar dan menunjukkan kita memang memanggil berat terhadap kebajikan rakyat Sabah.
“Ini termasuk 16 projek pembangunan jalan raya, bekalan air dan elektrik di luar bandar yang sedang dan akan dilaksanakan di Parlimen Kinabatangan merangkumi kos RM148 juta,” katanya dalam sesi soal jawab lisan sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Abdul Rahman menjawab soalan Ahli Parlimen BN Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin berhubung usaha yang akan dibuat bagi memastikan keperluan asas seperti jaringan jalan raya, bekalan air bersih dan bekalan elektrik dapat disediakan kepada masyarakat kampung di kawasan pedalaman dan terpencil terutamanya di kawasan Parlimen yang luas seperti Kinabatangan.
Dalam pada itu, Abdul Rahman juga memberi jaminan kepada Bung bagi untuk memastikan semua projek pembekalan air dan elektrik luar bandar di kawasan Parlimen Kinabatangan akan dapat disiapkan secepat mungkin. – Oleh HAIKA KHAZI