23 JULAI: Parti Warisan Sabah (Warisan) didakwa ‘menyembunyikan’ Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka agar tidak meninggalkan parti itu di sebalik kehangatan spekulasi pertukaran kerajaan bakal berlaku di Sabah.
Presiden Parti Solidariti Tanah Air Rakyat (STAR) Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, daripada apa yang diketahui, Warisan kini mengawal dengan teliti wakil rakyat mereka.
“Kami bahkan telah melihat drone diterbang ke rumah beberapa pemimpin untuk mengintip siapa yang datang dan pergi,” dakwanya dalam kenyataan hari ini.
Sejak semalam, kerajaan negeri Sabah pimpinan Warisan dilaporkan bakal tumbang apabila beberapa wakil rakyat parti yang membentuk kerajaan dikatakan bakal keluar parti.
Bagaimanapun, sebagai langkah meredakan spekulasi itu, beberapa ADUN parti kerajaan tampil menafikan spekulasi berkenaan.
Sementara itu, Jeffrey yang juga ADUN Tambunan dan Ahli Parlimen Keningau seterusnya meminta pemimpin Warisan dan DAP berhenti menuduh pemimpin pembangkang terutama bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman sebagai cuba ‘memikat’ wakil rakyat mereka.
“Saya juga ingin mengingatkan para pemimpin Warisan supaya sedar diri yang kini dalam keadaan terdesak untuk terus bertahan,” kata Jeffrey yang merupakan pemimpin pembangkang di DUN Sabah.
Jeffrey mengatakan terdapat banyak berita di media arus perdana dan sosial sejak kebelakangan ini mengenai dakwaan ejen dan broker yang cuba memikat wakil rakyat Warisan, PKR, DAP dan UPKO untuk beralih ke Perikatan Nasional.
“Beberapa wakil rakyat Warisan dan DAP telah berusaha untuk mengadakan sidang media dan membuat kenyataan yang menafikan mereka akan melompat.
“Sama ada pemimpin Warisan dan DAP ini mempunyai ego yang terlalu besar atau mereka merasa tidak aman, tidak yakin dengan sokongan dan kesetiaan ADUN mereka,” tambah Jeffrey.
Jeffrey seterusnya mengingatkan bagaimana pemimpin Warisan menggulingkan kerajaan Barisan Nasional di Sabah setelah berjaya memikat wakil rakyat tertentu selepas pilihan raya umum Mei 2018.
“Orang yang paranoid dan penuh kecurigaan biasanya seperti itu kerana mereka yang menggunakan taktik seperti itu,” tambahnya.