23 JULAI: Dua siasatan kes rasuah yang menjadi perhatian ramai ketika ini iaitu kes melibatkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang kini sudah di peringkat akhir siasatan.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Pesuruhajaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki pada sidang akhbar di ibu negara hari ini.
Berdasarkan laporan The Star Online, Azam yang ditanya mengenai siasatan melibatkan Syed Saddiq dan kehilangan wang tunai berjumlah ratusan ribu berkata, sudah tidak ramai lagi saksi akan dipanggil SPRM.
Katanya, ini kerana siasatan kes tersebut sudah di peringkat akhir sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan seterusnya.
Menurut beliau, siasatan kes itu mungkin dapat dilengkapkan dalam tempoh seminggu sahaja lagi.
Begitu juga katanya, mengenai siasatan terowong dasar laut Pulau Pinang.
Kes itu juga menurut Azam kini di peringkat akhir siasatan dengan tidak ramai lagi saksi yang akan dipanggil SPRM.
“Sepatutnya hari ini, kami memanggil (bekas Menteri Kewangan) Lim Guan Eng untuk memberi keterangan kali kedua tetapi beliau tidak dapat hadir kerana tidak sihat
“Esok (Jumaat) juga beliau tidak dapat hadir kerana ada hal. Oleh yang demikian, SPRM akan meneruskan rakaman percakapannya sekali lagi Sabtu ini,” katanya.
Semalam, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menjadi individu terbaru yang dipanggil SPRM selepas beberapa pemimpin tertinggi kerajaan negeri telah berbuat demikian sebelum ini.
Guan Eng bagaimanapun akan menyambung memberi keterangan kepada SPRM Sabtu ini berikutan kurang sihat dan mempunyai sijil cuti sakit.
Sementara itu, dalam sidang akhbar sama, Azam yang ditanya mengenai siasatan audio didakwa mengandungi suara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, siasatan tertumpu kepada dua aspek.
“Pertama darip segi kesahihan audio berkenaan, kedua adakah apa yang dicakapkan itu merupakan satu kesalahan atau sebaliknya,” katanya dalam sidang media selepas beliau melancarkan buku “Modul Integriti dan Rasuah” terbitan SPRM, di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan kes itu telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara. Oleh- M.H HAMID