23 JULAI: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi giat melaksanakan program pendedahan dan pembudayaan ekosistem keusahawanan mulai peringkat awal persekolahan sehingga tamat pengajian.
Timbalan Menterinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya telah mengadakan kolaborasi strategik bersama kementerian-kementerian lain khususnya Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.
“Langkah itu bertujuan mewujudkan lebih ramai usahawan dan menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan dalam kalangan pelajar, belia dan graduan,” katanya dalam sesi soal jawab lisan sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen BN Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan tentang 10 langkah utama yang diiambil kementerian untuk mewujudkan bangsa usahawan.
Mas Ermieyati menambah, antara program interaktif yang dijalankan bagi mencapai matlamat tersebut adalah Y-Biz Challenge oleh SME Bank dan Young Entrepreneur Strive for Success (YESS) oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Di samping itu, beliau memberitahu, seramai 5,001 belia telah dilatih melalui program Tunas Usahawan Bumiputera (TUBE) dan daripada jumlah itu, seramai 4,936 belia telah mendaftar perniagaan dengan nilai jualan terkumpul sebanyak RM126.7 juta serta mewujudkan 10,540 peluang pekerjaan.
“Kementerian Pendidikan telah memulakan subjek keusahawanan bermula di tingkatan 4 dan 5 bagi subjek perniagaan dan tingkatan 6 subjek keusahawanan,” jelasnya.
Mas Ermieyati berkata, elemen pendidikan keusahawanan juga didedahkan kepada murid-murid sekolah rendah dan pelajar-pelajar sekolah menengah. – Oleh HUSSAINI AMRAN