23 JULAI: Kes jangkitan di luar negara dalam kalangan pengembara yang baru tiba di negara ini terus menyumbang kepada jumlah keseluruhan kes baharu COVID-19 di negara ini.
Daripada sembilan kes yang dilaporkan hari ini, tiga kes import melibatkan jangkitan di negara Singapura, India dan Filipina manakala enam lagi jangkitan dalam negara.
Dengan jumlah pesakit yang dibenarkan discaj seramai lapan orang hari ini, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini berjumlah 143 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, empat kes tempatan dicatatkan di Sarawak melibatkan kluster Pasar Stutong, Hospital Sentosa dan kluster baru iaitu Kluster Kedutaan.
Katanya, dua kes pula dilaporkan masing-masing satu di Sabah dan Kelantan manakala jumlah kematian kekal 123 kes apabila tiada pertambahan kes dilaporkan.
“Sejak 1 Julai, kita melaporkan 15 kluster baru dan trend kenaikan kes baru besar kemungkinan disebabkan kelekaan dan ketidakpatuhan orang ramai dalam mematuhi nasihat kerajaan,” katanya dalam sidang media hari ini.
Sementara itu, Noor Hisham menyambut baik langkah kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di dalam pengangkutan awam dan di tempat yang sesak, namun pada masa sama meminta orang ramai supaya memakainya dengan betul.
“Pemakaian tidak sempurna dengan membiarkan ianya tergantung di leher, di dahi, atau menutupi hanya sebahagian dari hidung dan mulut adalah tidak bertepatan dan membawa risiko pencemaran atau jangkitan kepada pemakai.
“Nasihat KKM, pakailah facemask dengan kaedah yang betul,” katanya.