23 JULAI: UMNO Bahagian Tanjung Malim telah menyerahkan senarai nama calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim kepada kepimpinan tertinggi parti itu untuk pertimbangan lanjut.
Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz berkata, senarai itu diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas berbincang dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad.
Beliau berkata, mereka yang disenaraikan itu terdiri daripada pemimpin di peringkat bahagian termasuk sayap Wanita, Pemuda dan Puteri yang masing-masing mempunyai potensi tersendiri.
“UMNO bahagian menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan parti untuk menilai dan memilih calon paling layak mewakili BN dalam PRK DUN Slim.
“Segala keputusan dibuat berdasarkan perbincangan dan kami akur serta berjanji memberi kerjasama sepenuhnya kepada calon dipilih nanti,” katanya ketika ditemui media hari ini.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom, hari ini mengumumkan penamaan calon PRK DUN Slim pada 15 Ogos manakala pengundian awal ditetapkan 25 Ogos dan pengundian pada 29 Ogos.
Kerusi DUN Slim kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, pada 15 Julai lalu di Hospital Bentong selepas mengalami sesak nafas.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lalu, Allahyarham mempertahankan kerusi DUN Slim dengan majoriti 2,183 undi dalam saingan tiga penjuru.
Mohd Zaidi berkata, dalam pertemuan dengan Ahmad Zahid baru-baru ini, mereka berharap pucuk pimpinan mencalonkan anak tempatan.
“DUN Slim adalah kubu kuat kita, sudah tentulah kami akan berkerja keras untuk mengekalkan kemenangan dengan majoriti yang lebih besar pada PRK ini.
“Kami akan terima siapa sahaja antara kami yang terpilih menjadi calon dan berharap pimpinan serta ahli di peringkat akar umbi seiring dengan keputusan kami,” katanya.