24 JULAI: Seorang lelaki berusia 51 tahun yang mendapat arahan kuarantin di rumah ditangkap sedang berkeliaran di sebuah kedai makan di Kampung Jering, Ayer Tawar dekat Manjung, semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata ketika ditangkap lelaki itu memakai gelang tangan merah jambu yang sepatutnya menjalani kuarantin COVID-19 di rumah.
“Lelaki itu dikesan sedang berkeliaran di kedai makan dan pemeriksaan pada gelang dipakainya mendapati kuarantin bermula pada 18 Julai lalu hingga 1 Ogos ini.
“Dia didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan dikompaun RM1000,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan melaporkan kepada polis sekiranya ada individu yang memakai gelang merah jambu berada di tempat awam.
“Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang memakai gelang berkenaan sekiranya mendapati mereka melanggar perintah kuarantin di rumah,” katanya.
Lelaki itu difahamkan tiba di negara ini dari Asia Selatan beberapa hari lalu.