24 JULAI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng akan memberi keterangan untuk kali kedua bagi membantu siasatan skandal projek terowong dasar laut Pulau Pinang, esok.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan bahawa Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang akan hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, kira-kira jam 10 pagi, esok untuk menyambung keterangan berhubung kes terbabit.
“Jadi,” jawabnya ringkas melalui aplikasi WhatsApp hari ini ketika ditanya tentang perkara tersebut.
Rabu lalu, SPRM terpaksa memendekkan tempoh merekod kenyataan Guan Eng berhubung siasatan skandal itu selepas beliau dilaporkan kurang sihat.
Guan Eng dilihat memasuki bangunan Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira jam 1 tengah hari, Rabu lalu sebelum meninggalkan tempat berkenaan kira-kira jam 7.15 malam.
Ahli Parlimen Bagan itu dipanggil selepas beberapa pemimpin dan bekas pemimpin negeri Pulau Pinang dipanggil oleh SPRM untuk siasatan kes projek terbabit dengan ditemai oleh peguam yang juga Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.