24 JULAI: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyambut baik pengumuman mengenai penyelesaian bernilai AS$3.9 bilion (RM16.6 bilion) yang telah dicapai antara kerajaan Malaysia dengan Goldman Sachs bagi tuntutan kerajaan berhubung salah laku dan penyelewengan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut beliau, dengan penyelesaian itu, dana 1MDB yang akan dikembalikan kepada Malaysia secara keseluruhannya berjumlah AS$4.5 bilion (RM19 bilion).
“Ini termasuk dana yang dipulangkan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) sebelum ini. Kerajaan komited untuk meneruskan usaha mendapatkan semula aset-aset lain dan meneruskan tuntutan-tuntutan terhadap individu dan pihak yang berkaitan dengan skandal penyelewengan 1MDB.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kewangan, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional dan pasukan perunding atas usaha mereka mencapai penyelesaiannya.
“Ini adalah satu kejayaan dalam usaha mengembalikan hak dan harta rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz, mengesahkan Goldman Sachs bersetuju membayar AS$3.9 bilion (RM16.6 bilion) bagi penyelesaian caj dan tuntutan tertunggak berkaitan dengan tiga urus niaga bon membabitkan skandal 1MDB.
Beliau berkata, jumlah penyelesaian dan wang yang telah diterima oleh Malaysia dari DOJ lebih dari AS$4.5 bilion (RM19.14 bilion) akan dikembalikan kepada kerajaan.
Beliau berkata, kerajaan terus komited untuk mendapatkan semula aset lain yang masih belum dikembalikan.
“Penyelesaian ini merangkumi pembayaran tunai AS$2.5 bilion (RM10.63 bilion) dan jaminan untuk pengembalian penuh berjumlah sekurang-kurangnya AS$1.4 bilion (RM5.95 bilion) dari segi aset yang berkait dengan hasil yang telah diseleweng melalui tiga urus niaga bon berkenaan,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, Goldman Sachs, atas biayanya sendiri, juga akan membantu kerajaan dalam melantik pakar pemulihan aset untuk mendapatkan kembali aset lain yang kini berada di luar Malaysia.
Jumlah penyelesaian ini adalah satu peningkatan yang ketara jika dibandingkan dengan tawaran sebelumnya sebanyak AS$1.75 bilion (RM7.44 bilion) yang dibuat oleh Goldman Sachs kepada kerajaan pada 2019.
“Penyelesaian ini mewakili aset yang menjadi hak Malaysia. Kami yakin persetujuan ini telah berjaya mencapai jumlah pengembalian aset yang jauh lebih banyak daripada Goldman Sachs berbanding nilai yang ditawarkan terdahulu yang jauh di bawah jangkaan.
“Kerajaan bersyukur dapat menyelesaikan hal ini di luar sistem pengadilan, yang akan menelan banyak waktu dan sumber kewangan.
“Dengan penyelesaian ini, kita dapat mempercepatkan pengembalian aset, tanpa melalui proses pengadilan yang tentunya mahal dan rumit,” katanya.
Penyelesaian Goldman Sachs ini juga adalah satu pengakuan salah laku oleh dua bekas pegawainya di dalam skim penipuan dan rasuah 1MDB.
Tengku Zafrul berkata, penyelesaian ini juga tidak akan menjejaskan tuntutan Malaysia terhadap Low Taek Jho atau Jho Low dan individu lain yang berkaitan dengan skandal 1MDB.
Difahamkan delegasi bank pelaburan Amerika Syarikat (AS), Goldman Sachs sudah berada di sini sejak akhir minggu lalu untuk berunding dengan kerajaan mengenai penyelesaian terbabit.
Sumber yang rapat dengan perkara itu berkata, rundingan itu diketuai oleh Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun mewakili Malaysia manakala Goldman Sachs diketuai sendiri oleh Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, David Solomon.
Rundingan sebelum ini dihentikan sementara selama empat bulan disebabkan penularan pandemik COVID-19 serta perintah kawalan yang dikenakan kerajaan.
Wakil rundingan dari Malaysia turut disertai oleh pegawai kanan Kementerian Kewangan.
Sebelum ini dilaporkan Malaysia berusaha mendapatkan semula AS$2.7 bilion yang didakwa disalahgunakan daripada tiga terbitan bon 1MDB berjumlah AS$6.5 bilion.
Kerajaan juga menuntut pengembalian wang berjumlah AS$600 juta yang dijadikan sebagai bayaran yuran oleh Goldman Sachs.
Pendengaran kes yang membabitkan tiga anak syarikat Goldman Sachs itu ditangguhkan ketika Malaysia mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac.
Kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada Februari, sejak pertuduhan jenayah pertama kali diumumkan pada Disember 2018.