24 JULAI: Suami kepada Youtuber masakan terkenal didakwa di Mahkamah Sesyen di Ipoh hari ini atas tuduhan memiliki senjata berbahaya.
M Sugu, 29, dibawa ke mahkamah pada jam 8.45 pagi tadi dengan tangan bergari dan dihadapkan di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.
Lelaki berkenaan bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Kes akan disebut semula pada 17 Ogos depan. Sebelum ini tertuduh direman tiga hari.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki sabit sepanjang 26 inci di parkir Hospital Raja Permaisuri Bainun Hospital (HRPB) Ipoh, kira-kira 6 petang, Selasa lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya 1958.
Ia memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu sebelum ini ditahan reman tiga hari kerana disyaki terlibat dengan dua kesalahan berkaitan senjata berbahaya dan mendatangkan kecederaan.
Kejadian dilaporkan berlaku di pekarangan letak kereta di HRP, Ipoh.
Pasangan itu berjaya menarik minat ramai rakyat Malaysia sedikit masa lalu menerusi video masakan mereka sehingga turut mendapat perhatian pemimpin negara.
Video masakan Sugu Pavithra yang ada kalanya dibantu suaminya menjadi sensasi di Youtube sehingga mendapat jutaan tontonan sekali gus menjadikan pasangan itu popular dalam tempoh singkat.