24 JULAI: Orang ramai tidak memerlukan lesen Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk menghasilkan video dan memuat naik ke platform media sosial seperti Tik Tok, YouTube dan Facebook.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan memberi jaminan untuk kekal mendukung prinsip kebebasan media dan hak kebebasan individu di media sosial.
“Ini termasuk menghasilkan dan memuat naik video seperti biasa tanpa perlu memohon lesen atau bimbang didakwa oleh FINAS,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau memberitahu, semua perkara itu dipersetujui oleh Kabinet hari ini melalui cadangan pindaan Akta Finas 1981 [Akta 244] bagi menjadikannya bersesuaian dengan kehendak semasa.
Saifuddin menambah ketika Akta 244 diluluskan di Parlimen pada 1981, teknologi pada masa itu berlainan dengan ketika ini justeru akta tersebut perlu ditambah baik.
“Seperti diumumkan pada 20 Jun lalu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia sudah memulakan usaha untuk meminda akta-akta di bawah pengawasan kementerian supaya bersesuaian dengan situasi semasa,” jelasnya.
Beliau berkata, kerajaan akan memulakan proses meminda akta berkenaan dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, kerajaan menyalurkan dana bernilai RM225 juta menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dapat membantu merancakkan semula industri seni, budaya dan hiburan negara pasca-COVID-19.
Menurut beliau, peruntukan berkenaan amat dialu-alukan kerana ia memberi fokus terhadap keperluan warga industri.
“Bantuan dana ini memberi dorongan amat diperlukan bagi sebahagian besar ekonomi kreatif termasuk penekanan ke arah usaha pendigitalan, pembangunan dan kemampanan.
“Ini akan membantu melengkapkan inisiatif kami bagi industri kreatif dalam enam bulan yang akan datang. Tumpuan utama kami adalah memastikan setiap sen peruntukan sampai kepada kumpulan sasaran yang tepat secepat mungkin, dengan urus tadbir yang baik serta berintegriti.
“Saya yakin MyCreative dan LAKSANA tidak akan meminggirkan mana-mana pihak termasuk golongan wanita, anak muda serta minoriti sambil menyahut cabaran Perdana Menteri yang mahu mengelakkan birokrasi serta peraturan berlebihan hingga menghalang usaha pemulihan negara,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI