25 JULAI: Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, memberi keterangan hampir 7 jam berhubung kes skandal projek pembinaan terowong dasar laut di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini.
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berkenaan memberi keterangan kepada SPRM mulai jam 12.40 tengah hari dan hanya meninggal pejabat badan pencegah rasuah terbabit kira-kira jam 7.40 malam tadi.
Terdahulu, Guan Eng yang ditemani peguam merangkap Ahli Parlimen DAP Jelutong, RSN Rayer, tiba lewat hampir 3 jam daripada waktu temu janji ditetapkan pada jam 10 pagi berikutan kereta Toyota Velfire dinaikinya mengalami kerosakan tayar ketika dalam perjalanan dari Simpang Pulai ke Putrajaya.
Bagaimanapun, ketika keluar sebentar tadi, Guan Eng enggan memberi sebarang komen kepada pihak media yang menunggu di luar bangunan SPRM.
Difahamkan Guan Eng akan hadir kali ke Ibu Pejabat SPRM untuk memberi keterangan kali ketiga berhubung skandal terowong dasar laut Pulau Pinang pada jam 11 pagi esok.
Terdahulu media melaporkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, siasatan ke atas projek bernilai RM6.3 bilion itu tertumpu kepada pengubahan wang haram dan menjangkakan siasatan kes selesai dalam dua hingga tiga minggu.
Azam juga menegaskan bahawa tanggapan bahawa siasatan kes terbabit sudah dihentikan sepenuhnya adalah tidak benar kerana SPRM masih meneruskan usaha melengkapkan kertas penyiasatan sejak 2017.
Berikutan itu, Azam menjelaskan SPRM sudah mengambil keterangan 32 orang sehingga kini dan mahu menemubual 10 hingga 15 individu lagi.
Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan beberapa Exco dan bekas Exco kerajaan Pulau Pinang dilaporkan turut memberi keterangan kepada SPRM berhubung projek mega berkenaan.
Projek terowong bawah laut sepanjang 7.2 kilometer itu disiasat SPRM sejak 2017 dengan tiga jalan utama bertujuan mengurangkan kesesakan di jambatan pertama dengan menghubungkan Jalan Pangkor Pulau Tikus dan Bagan Ajam di Butterworth dan projek berkenaan dijangka dimulakan pada 2023.