25 JULAI: Ahli Parlimen PH Teluk Intan, Nga Kor Ming telah meletak jawatan sebelum Datuk Seri Azalina Othman Said dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh beliau.
Azalina yang juga Ahli Parlimen BN Pengerang memberitahu, beliau tidak melihat terdapat mana-mana pelanggaran Peraturan Mesyuarat atau Perlembagaan Persekutuan berlaku.
“Walau bagaimanapun, memandangkan perkara pada masa ini berada dalam pertimbangan Mahkamah, saya juga sebagai seorang pengamal undang-undang, menyerahkan kepada pihak mahkamah bagi mengadili perkara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kelmarin, Ahli Parlimen Bebas Langkawi, Dr Mahathir bersama empat Ahli Parlimen yang lain mengambil tindakan undang-undang bagi mencabar keabsahan proses pelantikan Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu.
Empat lagi Ahli Parlimen yang turut mengambil tindakan serupa ialah Ahli Parlimen Bebas Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Bebas Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik; Ahli Parlimen Bebas Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Bebas Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh.
Kesemua mereka telah memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi yang difailkan menyebut pelantikan Datuk Azhar Azizan Harun dan Azalina sebagai Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 13 Julai lalu adalah tidak sah, bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan atau Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.
Azalina menambah, menurut Perkara 63 (1) Perlembagaan Persekutuan, kesahan apa-apa prosiding di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen atau dalam mana-mana jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah.
Beliau turut memberi contoh keputusan mahkamah dalam keputusan terhadap kes bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak, V Sivakumar dan Datuk R Ganesan.
“Mahkamah memutuskan bahawa, sesuatu yang tidak boleh dipertikaikan ialah Dewan mempunyai kuasa untuk memilih atau memecat Yang Dipertua dan isu siapa yang dilantik secara sah sebagai Yang Dipertua adalah terletak di luar bidang kuasa mahkamah untuk membuat penghakiman,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN