26 JULAI: Bukan sahaja soal calon Perdana Menteri Kesembilan belum muktamad antara blok Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr. Mahathir Mohamad, bahkan parti mana yang akan mewakili pembangkang pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim juga belum selesai.
Justeru, Anwar yang merupakan Presiden PKR akan terus mengadakan perbincangan dengan blok Dr. Mahathir mengenai perkara itu.
Katanya, ini kerana Pakatan Harapan (PH) dan PKR terbuka soal tersebut bagi mengelakkan perpecahan undi dalam kalangan pembangkang.
“Sebab dia (blok Mahathir) minta dalam perjumpaan itu (Khamis lalu) oleh kerana Bersatu bertanding di Slim (PRU-14) lalu, jadi kita tak mahu ada perpecahan di kalangan pembangkang. Dia tidak dalam PH.
“Tapi kita tak mahu bagi alasan kita ambil tindakan tanpa berunding. Jadi kita berunding dulu, dan pasukan jumpa dengan mereka.
“Kalau dia nak bertanding, kita kena bawa balik ke PH keputusan kita,” katanya kepada pemberita di Ampang, Selangor selepas Konvensyen Penerangan PKR hari ini.
Anwar berkata beliau menjangkakan pasukan PH yang melakukan rundingan akan menyerahkan laporan mereka pada Selasa depan.
PKR Perak sebelum ini awal-awal lagi menegaskan akan meletakkan calon pada PRK DUN Slim.
Namun pembangkang dari blok Dr. Mahathir juga dilaporkan mahu meletakkan calon mereka.