27 JULAI: Arab Saudi bersiap sedia sepenuhnya sebagai tuan rumah bagi ibadat haji bermula Rabu ini yang akan menyaksikan hanya 10,000 jemaah dibenarkan menunaikan Rukun Islam kelima itu berikutan wabak COVID-19.
Ini kali pertama dalam sejarah moden Arab Saudi, jumlah jemaah untuk ibadat haji terpaksa dikurangkan kepada angka paling minimum berbanding 2.5 juta jemaah yang melaksanakannya tahun lalu.
Biar pun jumlah jemaah sangat terhad, namun kawalan kesihatan di Tanah Suci ditingkatkan bagi mengelakkan penularan COVID-19 dalam tempoh lima hari yang diperuntukkan untuk menjalani ibadat berkenaan.
“Pihak berkuasa menugaskan 3,500 pekerja pembersihan di Masjidil Haram yang akan terlibat dalam proses membasmi kuman dan kerja-kerja sanitasi sempanjang tempoh ibadat haji,” menurut media Arab Saudi.
Menurut pihak berkuasa, jemaah yang bakal melaksanakan ibadat haji tahun ini sudah mula masuk ke Tanah Suci sejak hujung minggu dengan memakai pelitup muka, selain turut dipantau melalu sesi imbasan suhu dan perlu menjalani kuarantin.
Berdasarkan dokumen program Kementerian Haji dan Umrah, setiap jemaah akan dibekalkan dengan kit bagi memudahkan proses ibadat haji, termasuk batu yang disteril bagi ibadat melontar, pembasmi kuman, pelitup muka, sejadah dan kain ihram.
Jemaah juga diwajibkan untuk menjalani ujian COVID-19 sebelum tiba di Makkah dan perlu menjalani kuarantin selepas selesai ibadat.
Pihak kementerian turut menyediakan beberapa fasiliti kesihatan, klinik bergerak dan perkhidmatan ambulans yang akan turut bertindak sebagai pemantau bagi memastikan penjarakan sosial dipatuhi.
Kira-kira 10,000 orang dibenarkan melaksanakan ibadat itu yang terdiri daripada warga Arab Saudi dan dalam kalangan espatriat yang bekerja di negara itu..
Menteri Haji dan Umrahnya, Dr Mohammed Saleh Taher Benten, berkata proses pemilihan jemaah dibuat secara telus dengan tahap kesihatan menjadi kriteria utama.
Katanya, kira-kira 70 peratus jemaah haji terdiri daripada warga asing yang bermastautin di negara itu.