27 JULAI: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu meminda Perlembagaannya berhubung penubuhan cawangan supaya jumlah cawangan boleh ditambah.
Cadangan itu dikemukakan oleh Setiausaha Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata, pindaan itu perlu supaya penubuhan cawangan tidak lagi dibuat berdasarkan jumlah pusat daerah mengundi (PDM) di setiap kawasan Parlimen.
“Penubuhan cawangan berdasarkan jumlah PDM, menyebabkan jumlah cawangan terhad. Jika jumlah cawangan ditambah seperti berasaskan kampung, maka ia membuka peluang kepada lebih ramai individu untuk menjadi ahli.
“Ini sesuai dengan perkembangan semasa parti, yang semakin mendapat sambutan daripada mereka yang ingin menjadi ahli,” katanya dalam kenyataan media.
Merujuk kepada Fasal 11.2 Perlembagaan Bersatu, setiap PDM dibenarkan untuk menubuhkan satu cawangan.