27 JULAI: Kementerian Kesihatan Palestin di Ramallah mengesahkan empat kematian akibat COVID-19 dicatatkan dalam wilayah Palestin sepanjang tempoh 24 jam sejak Sabtu lalu.
Memetik laporan Palestinian Information Center, sepanjang tempoh sama, sebanyak 330 kes didapati positif COVID-19 manakala 470 kes lagi telah sembuh.
“Sebanyak 224 kes baharu dicatakan di wilayah Jerusalem, 40 kes baharu di Al-Khalil, tiga di Ramallah, lapan di Tulkarem, empat di Bethlehem, 14 di Jenin, 20 di Nablus, 11 di Jericho dan enam di Qalqilya,” kata kementerian itu.
Merujuk kepada laporan harian kementerian berkenaan, kadar kesembuhan dalam kalangan pesakit-pesakit COVID-19 di Tebing Barat dan Jerusalem meningkat 36 peratus.
Pada masa yang sama, kadar kes aktif turun 63.4 peratus dan kadar kematian masih stabil berbanding jumlah kes baharu iaitu 0.6 peratus.
Jumlah keseluruhan kes baharu turun kepada 8,320 kes sementara jumlah keseluruhan pesakit yang sembuh meningkat kepada 4,726 orang dan jumlah kematian naik kepada 78 orang.
Seramai 12 pesakit COVID-19 dalam keadaan kritikal dan menerima rawatan rapi manakala dua orang lagi menggunakan alat bantuan pernafasan.