27 JULAI: Kerajaan perlu mengharamkan mana-mana pertubuhan yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan semuanya bergerak selaras dengan objektif penubuhannya.
Ahli Parlimen BN Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin berharap agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) mewujudkan undang-undang yang tegas di samping menyeru agar semua Ahli Parlimen di negara ini berpendirian tetap mengatakan tidak kepada pertubuhan yang berjuang di luar Perlembagaan Persekutuan.
Beliau turut menyeru agar Ahli-ahli Parlimen tanpa mengira parti politik mengikut kerangka dan semangat daripada Perlembagaan Persekutuan di samping berani menegur para pemimpin yang membangkitkan isu perkauman.
“Kita telah bersumpah menjadi Ahli Parlimen untuk menjaga Perlembagaan Persekutuan. Mana-mana pertubuhan yang ditubuhkan berjuang di atas luar daripada Perlembagaan harus diharamkan selagi negara ini semua parti politik dan pemimpin-pemimpin politi mengatakan tidak kepada parti politik atau pertubuhan berjuang di luar landasan Perlembagaan.
“Saya rasa negara ini akan aman untuk kita wariskan pada generasi akan datang dan keresahan rakyat mula muncul apabila pemimpin-pemimpin politik ketika itu tidak berani katakan tidak disebabkan hanya mahu mendapat keuntungan politik di samping soal agama, bangsa dan kedaulatan raja-raja dipermainkan secara meulas tanpa sekatan pemimpin besar negara ketika itu,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Hasan mempersoalkan tindakan PH yang asyik memainkan isu dengan menggelar kerajaan PN sebagai kerajaan pintu belakang atau ‘tebuk atap’ disifatkan sebagai istilah yang diluahkan oleh individu yang kecewa terutama yang memihak kepada gabungan Pakatan Harapan (PH).
Menurut beliau, perubahan ini kerana peralihan sokongan yang berlaku dalam PH sendiri.
“Jangan tersilap kerana jika menang pilihanraya tidak boleh bertukar adalah tidak betul. Dalam sistem demokrasi parti-parti boleh membentuk kerajaan dan parti seperti Bersatu, UMNO dan PAS melihatkan keresahan rakyat dan keruntuhan ekonomi bagi mengatasi masalah yang dibawa oleh Kerajaan PH.
“Yang di-Pertuan Agong melantik dalam kerangka Perlembagaan yang dibenarkan. Tidak timbul isu pintu belakang, tebuk atap…tidak betul kerana tanggungjawab kita untuk selamatkan negara dari kehancuran yang dipimpin PH. Kalau kita benarkan sampai lima tahun. Negara ini akan hancur,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH