28 JULAI: Rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara hanya perlu membayar sebanyak RM2,100 atau 44.7 peratus daripada jumlah keseluruhan RM4,700 bagi menampus kos kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan kerajaan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kos itu merangkumi caj bilik hotel dan makan tiga kali sehari.
“Kerajaan pula menanggung baki kos RM2,600 atau 55.3 peratus termasuk kos pengangkutan dari pintu masuk sempadan ke stesen kuarantin, kos makan minum serta peralatan PPE petugas kesihatan, keselamatan dan sekretariat serta kos pembersihan dan dekontaminasi di stesen kuarantin,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau menambah, sepanjang tempoh 25 Julai hingga semalam, seramai 1,631 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di sembilan stesen kuarantin di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Johor.
“Mereka telah pulang dari 22 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Bangladesh, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda dan Australia,” jelasnya.
Ismail Sabri memberitahu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan 1,776 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing semalam.
Sementara itu, beliau berkata, PDRM telah menahan 210 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan daripada jumlah itu, seramai 10 individu telah direman manakala seorang individu dijamin.
“199 individu pula dikenakan kompaun. Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk 72 aktiviti pub dan kelab malam dan 138 aktiviti yang tidak mengikuti prosedur operasi standard (SOP),” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail menyatakan, seorang warga asing ditahan atas kesalahan imigresen semalam dalam 74 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara semalam dengan melibatkan pemeriksaan terhadap 37,281 kenderaan. – Oleh HUSSAINI AMRAN