28 JULAI: Malaysia sentiasa bersedia menjadi rakan kongsi negara-negara di dunia untuk menjalankan ujian klinikal bagi menguji sebarang vaksin termasuk COVID-19 demi manfaat rakyat di negara ini.
Malah, Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Khairy Jamaluddin, berkata Malaysia pernah menawarkan diri untuk menjadi hub penyelidikan dan ujian klinikal wabak COVID-19 dengan kerjasama beberapa syarikat dari China.
Bagaimanapun, Khairy berkata kebanyakan syarikat China berkenaan membuat keputusan menarik diri ketika proses rundingan dijalankan berikutan penurunan mendadak kes COVID-19 di Malaysia.
“Untuk kita jalankan ujian klinikal COVID memerlukan kes banyak sebab itulah syarikat China beralih ke negara lain seperti UAE dan Brazil kerana puluhan ribu kes COVID-19 di sana.
“Oleh kerana kejayaan Malaysia membendung COVID-19 maka kita sudah tidak layak untuk menjadi lokasi sesuai bagi menjalankan ujian klinikal wabak terbabit,” kata Khairy ketika menjawab soalan lisan dikemukakan oleh Ahli Parlimen BN Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria di Dewan Rakyat sebentar tadi.
Mohd Nizar meminta Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, menyatakan apakah peranan dimainkan oleh kementerian dalam
membantu usaha pembangunan vaksin COVID-19 di peringkat antarabangsa memandangkan Malaysia tidak mempunyai fasiliti pembuatan vaksin.
Ahli Parlimen Parit berkenaan juga mahu menteri berkenaan menjelaskan sejauh manakah tenaga pakar di Malaysia mencukupi dan
mampu untuk memberi sumbangan kepada usaha ini.
Mengulas lanjut, Khairy berkata Malaysia sentiasa bersedia dan mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian menerusi Agensi Klinikal Malaysia yang mempelopori pendidikan klinikal di Malaysia.
“Kita juga mempunyai kemudahan untuk menjalankan penyelidikan klinikal fasa 1 iaitu di Pusat Penyelidikan dan Hospital Umum Sarawak,” katanya.
Terdahulu, Khairy mengesankan kerajaan belum membuat keputusan mengenai syarikat yang berjaya mendapat kontrak bagi membotolkan vaksin COVID-19 yang bakal dibawa masuk ke negara ini nanti.
Mengulas lanjut, Khairy yang juga Ahli Parlimen BN Rembau berkata keputusan pemilihan syarikat mendapat kontrak ‘Fill and Finish’ (pembotolan) vaksin COVID-19 berkenaan tidak takluk kepada Duopharma Biotech Bhd dan Pharmaniaga.
Bagaimanapun, Khairy berkata setakat ini hanya dua syarikat tempatan berkenaan yang memiliki keupayaan dan kemudahan untuk membotolkan vaksin COVID-19 di Malaysia.
“Pemilihan syarikat mestilah berdasarkan keupayaan mengilang farmasutikal tempatan yang memenuhi standard Amalan Pengilangan Baik (GMP) mengikut Farmasutikal Inpaction Skim.. Pemilihan pengilangan mematuhi standard ini penting bagi memastikan aspek Fill and Finish dapat dilakukan dengan selamat.
“Walau apapun keputusan untuk melantik syarikat terbabit ia mestilah mematuhi syarat ditetapk oleh National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.