28 JULAI: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta semua pemimpin, ahli dan penyokong parti supaya bertenang dengan keputusan mahkamah yang mendapati bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalah dalam tujuh pertuduhan berkaitan kes SRC International Sdn Bhd.
Beliau turut meminta mereka semua supaya akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
“Kita percaya DS Najib masih ada ruang untuk mendapatkan keadilan melalui proses perundangan negara.
“Saya turut bersedih dengan keputusan ini dan yakin Datuk Seri Najib seorang yang cekal dan tabah,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum itu mendapati bekas Perdana Menteri itu bersalah di atas semua tujuh pertuduhan membabitkan pertuduhan penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Hakim Mohd. Nazlan membuat keputusan tersebut selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah bagi pertuduhan berkenaan.
Najib berdepan tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International.
Mahkamah mengumumkan secara berperingkat bermula dengan pertuduhan salah guna kuasa sebelum diikuti pecah amanah dan pengubahan wang haram. – Oleh HUSSAINI AMRAN