29 JULAI: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesah bahawa 786 daripada 15,531 pendatang tanpa izin (PATI) dan warga asing yang kini ditahan depoh tahanan Imigresen di seluruh negara disahkan positif COVID-19.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, berkata beliau gembira kerana semua PATI dan warga asing yang disahkan positif ketika ditahan di depoh tahanan Imigresen kini menerima layanan baik dan sudah pulih sepenuhnya.
Berikutan itu, KDN mengucapkan terima kasih kepada petugas barisan hadapan terutama polis, imigresen dan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi layanan baik kepada kumpulan PATI terbabit.
“KDN juga sudah menghubungi negara sumber bagi membolehkan semua PATI dan warga asing yang ditahan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Selangor dan Malayan Mansion pada bulan Mac lalu.
“Tindakan itu perlu bagi membolehkan kita menghantar pulang semula PATI dan warga asing berkenaan ke negara asal mereka dalam masa terdekat,” katanya ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan oleh Ahli Parlimen PH Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid di Parlimen sebentar tadi.
Terdahulu, Abdullah Sani meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan jumlah pekerja asing yang sah dalam negara tetapi masih bekerja di dalam negara setelah permit mereka tamat tempoh.
Ahli Parlimen Kapar berkenaan juga mahu tahu bagaimanakah pemantauan dapat dilakukan terutama dari aspek keselamatan dan kesihatan.
Menjawab soalan lisan dikemukan Abdullah Sani, Ismail berkata KDN memandang serius isu PATI dan warga asing yang tinggal lebih masa overstay ia akan menjejaskan keselamatan negara.
Berikutan itu, KDN menerusi agensi di bawahnya sentiasa melakukan pemantau dan operasi bagi menangani isu PATI dan warga asing yang tinggal lebih masa berdasar maklumat risikan bersama.
Malah, Ismail berkata sehingga kini KDN meluluskan, 1,545,101 Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) termasuk 2,766 ditahankan kerana tinggal lebih masa.
“Bagaimanapun kita memberi peluang kepada mereka kerana ramai majikan memerlukan khidmat pekerja asing,,, pas khas selama 30 hari bagi membolehkan mereka untuk melanjutkan PLKS selama setahun lagi,” katanya.