29 JULAI: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bercadang membina 1,300 unit rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan membaik pulih 10,000 rumah sedia ada, pada tahun ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, berkata sebelum ini kerajaan sudah membina 7,149 rumah PPRT dan membaik pulih 38,057 rumah golongan kurang bernasib baik dan miskin tegar menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11), sejak tahun 2016.
“Bantuan rumah rakyat yang dilaksana di bawah kementerian dikenali sebagai PPRT bertujuan memastikan golongan miskin dan miskin tegar memiliki rumah kediaman selamat dan selesa,” katanya menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Ahmad Nazlan bertanya bentuk bantuan yang diberikan Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi memperluaskan pemilikan rumah rakyat miskin di luar bandar.
Menjawab soalan tambahan Ahmad Nazlan mengenai kesediaan kementerian untuk menambah baik spesifikasi rumah yang akan dibina dan kualitinya, Dr Abdul Latiff berkata spesifikasi pembinaannya adalah sama iaitu rumah batu bata tiga bilik dan rumah panjang.
“Rumah batu bata berukuran 22×30 kaki iaitu 660 kaki persegi (201.1 meter persegi) manakala rumah panjang ialah 17.72×40 kaki iaitu 713 kaki persegi (217.3 meter persegi).
“Oleh kerana kita dapat menarik perhatian vendor (kontraktor) G1 dan G2, maka kita cuba teknologi sistem binaan berindustri (IBS),” katanya.
Berikutan itu Dr Abdul Latiff berkata KPLB sudah panggil beberapa syarikat IBS supaya kualiti dan bantuan rumah PPRT sampai ke sasaran secara berkesan,” katanya.