29 JULAI:Tan Sri Musa Aman mendakwa bahawa gabungan baharu telah dibentuk di Sabah bagi menubuhkan kerajaan negeri baharu yang menyokong Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, gabungan yang diketuai beliau tersebut dianggotai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dari pelbagai parti.
Beliau memberitahu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Nardin Awang telah membuat kunjungan hormat terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin untuk memaklumkan gabungan baharu berkenaan telah beroleh sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan negeri.
“Tuan Yang Terutama telah meminta saya mengemukakan surat-surat akuan bersumpah yang mengesahkan sokongan mereka.
“Saya telah menerima surat akuan bersumpah ADUN yang mengesahkan pendirian mereka menyokong gabungan baharu yang saya ketuai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Musa yang juga ADUN Sungai Sibuga menambah, kerajaan gabungan yang baharu akan berusaha memperbaiki dan menghasilkan dasar yang lebih baik untuk membawa Sabah keluar dari keadaan ekonomi yang getir ketika ini akibat kelemahan kerajaan negeri di bawah Parti Warisan Sabah (Warisan) termasuk dalam mengatasi penularan wabak COVID-19.
“Bersama dengan bantuan kerajaan Persekutuan, saya percaya kita bersama-sama dapat mengatasi cabaran yang berlaku, melonjakkan ekonomi, mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan meningkatkan kehidupan masyarakat,” jelasnya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang secara konsisten mempercayai dan menyokongnya.
“Saya tidak mengharapkan apa-apa kecuali komitmen dan dedikasi sepenuhnya dari semua wakil rakyat untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN